Sunday, September 28, 2008

Rumah kebajikan mohon sumbangan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKFLY

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Rumah Penyayang Hembusan Kasturi (RPHK) di Kapar, Klang yang menjadi tempat anak yatim dan miskin berlindung memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahannya termasuk surau serta menambah bangunan asrama penghuni.

Pengasasnya, Zubir Omar (gambar) berkata, bantuan itu juga diperlukan bagi menyediakan dua buah kabin bernilai RM14,000 setiap satu untuk dijadikan asrama sementara penghuni lelaki selepas pengambilan untuk kategori tersebut dibuka bermula awal Januari depan.

''Pada waktu ini, RPHK hanya mengambil kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun hingga 12 tahun menjadi penghuni di sini manakala kategori kanak-kanak lelaki masih belum ada.

''Tetapi pihak kami ada menerima permohonan bagi kategori tersebut untuk dipertimbangkan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Oleh sebab itu, katanya, rumah tersebut memerlukan bantuan dana segera bagi merealisasikan pembinaan asrama dan memperbaiki kemudahan asas atau sekurang-kurangnya menyediakan dua buah kabin untuk dijadikan asrama sementara penghuni lelaki.

Beliau berkata, pengubahsuaian bangunan menerusi bantuan dana itu kelak adalah semata- mata demi memastikan keselesaan penghuninya selain menyediakan keperluan dengan lebih sistematik.

Setakat ini, katanya, jumlah penghuni tetap di rumah tersebut yang terletak di Batu 3, Jalan Kapar, Klang adalah seramai 20 orang manakala bilangan petugas atau penjaganya adalah seramai empat orang.

Selain itu, menurut Zubir, bantuan dana itu turut akan digunakan untuk membaik pulih kemudahan asas seperti pemasangan pagar, gril tingkap dan pintu, mengecat dan menyediakan landskap di kawasan rumah kebajikan tersebut.

''Setakat ini pihak kami ada menerima sumbangan dana daripada pihak tertentu yang sudi membantu, namun masih belum mencukupi.

''Justeru, saya memohon syarikat korporat atau individu yang berminat untuk memberi sumbangan bagi menampung kos pembinaan ini seiring dengan hasrat RPHK dalam menyediakan kemudahan terbaik buat penghuninya," kata beliau.

RPHK yang mula dibuka pada Mac 2008 bukan setakat menyediakan bantuan kepada penghuninya sahaja tetapi juga anak fakir miskin, ibu tunggal, golongan teraniaya serta mereka yang layak menerima zakat.

Antara aktiviti yang disediakan di RPHK adalah kelas fardu ain, motivasi dan kaunseling untuk dewasa dan kanak-kanak secara percuma, kelas tuisyen, kelas komputer dan kelas bahasa Inggeris bagi meningkatkan kecemerlangan akademik penghuni selain menyediakan kemahiran tambahan yang lain dalam menguasai era teknologi terkini.

No comments: